PANDUAN MENANAM BUAH PITAYA

PANDUAN MENANAM BUAH PITAYA /DRAGON FRUIT (HYLOCEREUS UNDATUS)
(Tanaman Jangka Pendek dan Sederhana)
PENGENALAN

Pitaya atau 'dragon fruit' atau buah mata naga (Hylocereus undatus) adalah tanaman baru yang diusahakan secara komersil di negara ini. Ia berasal dari Amerika Selatan dan dibawa masuk ke Vietnam oleh orang Perancis pada kurun ke 19 dari Guvana sebagai tanaman hiasan.

Buah daripada famili 'Cactaceace' ini mendapat nama mungkin daripada bentuknya yang kelihatan seakan-akan bebola api yang terdapat pada mulut naga. Nama tempatan yang biasa ialah Pitaya/Kaew mang korn (Thailand); Than long (Vietnam), Strawberry pear; Pitahaya (Latin America); Queen of the night (North America); Red dragon fruit; Fire dragon fruit (Asia); Buah naga (Malaysia); Huo long guo/Hong long guo (Taiwan).

Kandungan zat makanan yang terdapat dalam buah pitaya air, protin, lemak, gentian, karotin, kalsium, fosferus, besi, vitamin B1, vitamin B2, vitamin B3, vitamin C, thiamine, riboflavin, niacin dan abu.

CIRI-CIRI POKOK

Pokok pitaya tergolong dalam keluarga kaktus. Pitaya hidup dengan tumbuh menjalar dan disokong oleh akar-akar yang kuat. Akar ini juga berfungsi menyerap makanan daripada bahan organik untuk pertumbuhan. Buah Pitaya berbentuk bujur, berkulit merah muda terang dilindungi lapisan kelopak berwarna hijau serindit di hujungnya dan mempunyai rasa yang lazat dan kaya dengan nilai pemakanan serta tonik penyembuh penyakit.

VARIETI PITAYA

Terdapat beberapa varieti pitaya yang diusahakan. Varieti ini berdasarkan kepada warna isi buah pitaya iaitu warna putih, merah dan kuning.
Varieti Warna Isi
Saiz Buah Sari Salut/Sisik buah pada buah matang Gerigi Batang
Hylocereus costa/Hylocereus poly/
Pitaya 126
(Asal Taiwan) Merah Sederhana besar
(300-500g)
Susunan lebih rapat
Berbentuk lebar dan pendek Bewarna hijau atau
hijau sedikit perang
Hylocereus undatus Putih Besar
(500-800g)

Susunan jarang
Berbentuk tirus dan panjang Berwarna perang



KEPERLUAN TANAH DAN IKLIM

Pitaya sesuai ditanam di kawasan yang mengandungi 10-30% pasir atau tanah gembur pada cerun kurang dari 6o dan bersaliran baik. Walau bagaimanapun, kawasan tanah tinggi, tanah baris mahupun tanah sawah boleh juga ditanam jika langkah-langkah pemuliharaan tanah diambilkira. Di kawasan sawah ianya perlu ditanam di atas batas yang cukup tinggi dan akarnya tidak digenangi air. Sistem 'furrow' boleh digunakan di tanah sawah.

Tanaman buah naga bersifat 'long day plant' iaitu ia memerlukan cahaya matahari yang panjang pada waktu siang. Selain itu, ia adalah dari golongan 'Crassulacean Acid Metabolic' iaitu tumbuhan yang memproses makanannya pada waktu malam. Pokok buah naga juga bersifat epipitik dan memerlukan para untuk menyokong batangnya yang lembut serta memanjat dan menjalar. Akar akan keluar dari batang yang menjalar di atas para untuk tujuan pengambilan air dan pemakanan.

Iklim tropika dengan purata suhu antara 25-30oC dan hujan antara 500-1500 mm adalah sangat sesuai. Hujan yang berlebihan akan menyebabkan pokok kurang mengeluarkan bunga atau bunga yang keluar gugur atau menjadi busuk.

PEMBAJAAN

Pembajaan ialah satu aktiviti ladang yang sangat penting dalam penanaman buah naga. Tanaman buah naga memerlukan baja organik untuk pertumbuhan yang baik. Pengapuran perlu dilakukan sekiranya pH tanah rendah (masam).

Lubang tanaman dimasukkan baja organik CIRP dan juga kapur. Baja hendaklah diberi secara 'pemberian split' dengan kadar bulanan tertentu. Baja 'foliar' juga perlu disemburkan pada batang supaya pokok lebih sihat. Apabila pokok telah membesar, baja kimia dan baja organik perlu diberi dengan lebih kerap. Kadar pembajaan adalah seperti berikut


Umur Pokok Jenis Baja
Kadar / Rumpun Kekerapan
Pokok muda (1-6 bulan) NPK 15:15:15
atau NPK 16:16:16
Organan
100 g
2 bulan sekali
7 bulan dan seterusnya NPK 15:15:15
atau NPK 16:16:16
Organan
500 g
2 bulan sekali, berselang seli
dengan baja kimia
Pokok berbuah:
Masa berbuah NPK 13:13:21
Organan 300 g
500 g
Biasanya selang sebulan antara
baja pembesaran dan baja buah
Selepas berbuah NPK 15:15:15
Organan 300 g
500 g


PENANAMAN

Penanaman pokok pitaya memerlukan tiang dan para konkrit sebagai sokongan. Bagi setiap tiang, empat anak pokok (dari keratan batang) ditanam. Jarak tanaman yang disyorkan ialah 2.5m dalam baris dan 3m antara baris. Anak pokok perlu diikat pada tiang konkrit supaya ianya dapat tumbuh secara menengak. Hanya 1 tunas yang sihat sahaja dibiarkan tumbuh memanjang untuk membentuk batang utama.

CANTASAN

Cantasan dibuat bagi memilih dahan-dahan yang sihat, subur dan kedudukannya seimbang di atas para. Bagi pokok dewasa, dahan lama/tua dicantas kerana ia tidak produktif lagi. Kerja mencantas ini dibuat secara berjadual dan hanya sedikit dahan dibuang bagi satu-satu masa supaya hasil tidak terjejas. (lihat panduan mencantas / memangkas pokok).

PENGAIRAN

Pengairan yang baik adalah penting untuk mendapat hasil pitaya yang tinggi. Pengairan pada kekerapan 2-3 hari sekali di peringkat awal penanaman dan 1-2 kali seminggu di peringkat pokok matang adalah di syorkan, terutama pada musim panas. Sistem pengairan titis disyorkan untuk tanaman pitaya.

PENGURUSAN PEROSAK, PENYAKIT DAN RUMPAI

Pokok buah naga sangat sensitif kepada racun rumpai. Penggunaan racun rumpai dipangkal pokok tidak digalakkan kerana sistem akar pitaya adalah cetek. Pokok dan batangnya mudah melecur dan menggelupas apabila terkena racun tersebut. Rumpai di sekeliling pokok disyorkan dipotong/dicabut. Amalan meletakkan bahan sungkupan/kompos di sekeliling pangkal tanaman juga dapat mengawal pertumbuhan rumpai di sekeliling pokok. Bagi kawasan di antara barisan tanaman, disyorkan rumpai dipotong setiap 1-2 bulan sekali. Kawalan rumpai dibuat secara berkala mengikut keadaan ladang. Begitu juga dengan kawalan perosak dan penyakit jika perlu. Penyakit yang sering dijumpai ialah kulat dan bakteria.


Serangan semut dan kulat boleh dikawal dengan menggunakan racun perosakan yang disyorkan. Haiwan yang biasa menyerang tanaman ialah burung, tupai, tikus dan kelawar. Siput juga boleh merosakkan batang buah naga. Haiwan-haiwan ini akan makan buah yang telah masak. Oleh itu, buah hendaklah dibungkus untuk mengelakkannya daripada dirosakkan oleh haiwan-haiwan berkenaan. Perosak lain ialah kumbang Xylopetrus yang perlu diawasi, walaupun tahap serangan adalah rendah. Selain itu, lalat buah (Dacus dorsalis) juga sangat penting dikawal.

Selain haiwan perosak, penyakit reput batang (stem rot) yang disebabkan oleh bakteria Xanthomonas campestris turut menyerang tanaman ini. Kulat Phomopsis menyebabkan bintik berwarna coklat pada buah. Semburan dengan racun kulat dapat mengawal penyakit ini daripada merebak.

PENGELUARAN HASIL

Pokok pitaya mula berbunga selepas 7 bulan ditanam. Bunga akan berkembang pada waktu malam dan bertahan semalaman saja. Buah pitaya boleh dituai pada 50-53 hari selepas pembentukan kudup bunga. Sebatang pokok pitaya boleh mengeluarkan hasil yang pertama dari 6-12 bulan selepas ditanam. Pusingan pengeluaran buah ialah 4-5 kali/tahun dan tempoh mengutip hasil ialah selama 7 hari. Secara umumnya, pokok pitaya mampu menghasilkan buah selama 30 hingga 60 tahun.


PENUAIAN

Petik buah apabila mencapai kematangan optimum 38-40 hari dari berputik atau 30-32 hari daripada bunga mula mengembang. Petik pada wakktu pagi atau lewat petang untuk mengelakkan kecederaan disebabkan suhu tinggi dan kumpul buah di tempat teduh. Gunakan peralatan seperti gunting, bekas dan kereta sorong yang bersih dan sesuai. Elakkan memetik semasa buah masih basah (embun atau hujan). Elakkan buah tersentuh dengan minyak atau kimia yang bukan untuk rawatan. Gunakan sarung tangan untuk mengelakkan kecederaan pada buah. Gunakan bekas yang kukuh, bersih, licin dan tiada bahagian yang tajam dan jangan letak buah tanpa berlapik.


INDEKS KEMATANGAN
Indeks 1 - Belum matang (19-20 hari). Permukaan kulit dan sisek berwarna hijau. Belum sesuai dituai.
Indeks 2 -
Matang (24-25 hari). Permukaan kulit berwarna tompok-tompok merah dan sisek berwarna hijau. Sesuai dituai untuk penghantaran jauh dan eksport menggunakan laut dan udara.
Indeks 3 -
Hampir masak (27-29 hari). Permukaan kulit berwarna kemerah-merahan dan sisek berwarna hijau. Sesuai dituai untuk penghantaran jauh dan esport menggunakan laut dan udara.
Indeks 4 -
Masak (31-32 hari). Seluruh permukaan kulit berwarna merah, dan sisek berwarna hijau. Sesuai untuk menghantaran jauh dan eksport menggunakan udara sahaja.
Indeks 5 -
Terlalu masak (34-35 hari). Keseluruhan permukaan kulit berwarna merah dan sisek berwarna keperangan. Hanya sesuai untuk pasaran tempatan sahaja.


PENGENDALIAN LEPAS TUAI

Pengasingan
Lakukan pengasingan di ladang dan di rumah pembungkusan. Pilih buah yang berkualiti iaitu yang segar, matang, bebas daripada kecacatan dan kerosakan. Asingkan buah mengikut tahap-tahap kematangan. Gunakan sarung tangan untuk mengelakkan kecederaan pada buah. Musnahkan buah yang ditolak dengan kaedah yang betul.


Pembersihan
Bersihkan buah dari kotoran ladang dan benda asing termasuk sarang serangga, tanah dan sebagainya. Elakkan membersihkan buah dengan merendam buah di dalam air. Span, berus atau kain lembut boleh digunakan semasa membersih untuk mengelakkan kecederaan pada buah. Buah yang basah kerana hujan atau embun perlu dikeringkan menggunakan kipas pada suhu bilik.


Penggredan

Buah perlu digred dengan cermat mengikut kriteria-kriteria tertentu seperti varieti, keseragaman saiz, keseragaman kematangan, bebas daripada bahan asing, kecacatan, kecederaan dan jangkitan penyakit. Buah pitaya mestilah memenuhi keperlukan minimum berikut:-

- mencapai peringkat kematangan yang dikehendaki pasaran.
- kandungan jumlah pepejal larut melebihi 9% Bris.
- buah masih segar dan agak bebas daripada sebarang kerosakan dan kecacatan.


Pembungkusan
Menggunakan bekas atau bahan pembungkusan yang sesuai dan boleh melindungi buah daripada kecederaan mekanikal dengan baik semasa dikendalikan. Bahan yang digunakan untuk mengalas mestilah dari bahan lembut, bersih dan bebas daripada kesan toksik. Bahan pembungkus mempunyai cukup pengudaraan. Berat bersih bagi satu unit pembungkusan ialah diantara 5 kg - 10 kg. Mempunyai label seperti nama dan alamat pembungkus, perkataan 'Pitaya' dan juga varieti, negara asal, gred, kelas saiz dan bilangan buah.

Untuk pasaran tempatan, buah hanya disusun di dalam kotak kertas mengikut gred dan juga di dalam bakul plastik. Untuk pasaran jauh buah perlu dibalut dengan 'styrofoam' lembut dan disusun di dalam kota beralas dengan carikan kertas. Buah disusun dalam keadaan berbaring dan carikan kertas juga diletak antara buah-buah supaya ia tidak rosak semasa pengangkutan. Bilangan buah sekotak ialah antara 12-14 biji dengan berat 4 kg sekotak.


Simpanan Sementara
Bertujuan menurunkan suhu buah ke tahap paling rendah untuk membuang haba ladang (field heat) dengan cepat supaya jangka hayat buah menjadi lebih lama. Elakkan perubahan suhu yang mendadak kerana ini akan mempercepatkan proses buah rosak. Suhu simpanan yang sesuai ialah 6-7oC dengan kadar kelembapan relatif 90-95% dimana kualiti buah dapat dikekalkan sehinggga 3 minggu. Penyimpanan pada suhu yang lebih rendah (<5oC) boleh menyebabkan berlakunya kecederaan sejuk.


Pengangkutan dan Pengedaran
Digalakkan menggunakan bakul plastik atau kotak untuk memudahkan pengendalian. Kurangkan tempoh pengangkutan dan pemunggakan. Gunakan pelet untuk mengurangkan pengendalian. Gunakan lori sejuk atau lori yang bertutup kanvas yang mempunyai cukup pengudaraan dan digalakkan untuk mengangkut pada waktu cuaca sejuk. Kebanyakan pengusaha menggunakan kenderaan pacuan 4 roda atau lori kecil.


Menggred Buah
Buah mata naga digred mengikut berat buah:-
Gred A - berat lebih dari 450 gm
Gred B - berat antara 300-400 gm
Gred C - berat kurang dari 300 gm



Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA